'Kenapa tak tanya saya dulu'
Oleh Amran Yahya
Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.


KUALA PILAH: "Semua yang tular itu banyak yang tidak benar sehingga menyebabkan kami sekeluarga dikecam warganet," kata Radzuran Ismail, 52.

Kisah keluarga Radzuran yang tinggal di dalam pondok usang dalam kebun telah tersebar sejak semalam dan menjadi bualan netizen.

"Saya sentiasa ada di sini dan mengapa pihak terbabit tidak datang berjumpa untuk mengetahui situasi sebenar tentang keluarga saya," katanya ditemui di pondoknya di Kampung Malan, di sini hari ini.

Pegawai Daerah Kuala Pilah, Mohd Faizal Abdul Manap yang turut berada di lokasi berkata terdapat kekeliruan dan salah faham berhubung kisah yang tular sejak semalam.

"Kisah mengatakan keluarga ini daif dan tiada tempat tinggal tidak benar kerana mereka ada kediaman sendiri di Meru, Klang hasil sumbangan Lembaga Zakat Selangor.

"Namun, sejak lima bulan lalu, dia (Radzuran) sering berulang alik ke Kampung Malan kerana bekerja di sebuah kilang selain mengusahakan tanaman semula getah di tanah peninggalan keluarga serta mempunyai ternakan.

"Bagaimanapun, rumah peninggalan arwah ibu bapanya yang sebelum ini terbiar kosong telah terbakar pada tahun 2015," katanya.

Mohd Faizal berkata, disebabkan Radzuran sering berulang alik ke Kampung Malan, dia membina pondok untuk berehat ketika mengusahakan tanah itu.

Ketika cuti sekolah baru-baru ini, dia balik ke kampung itu bersama isteri serta tiga orang anak, dan serentak dengan itu juga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diisytiharkan.

Ini menyebabkan keluarga ini telah terperangkap dan terpaksa tinggal di pondok ini hingga tempoh PKP tamat.

Pejabat ADUN Johol, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), pihak pengurusan masjid serta masyarakat setempat telah memberikan bantuan sebaik mungkin kepada keluarga ini sepanjang PKP bermula hingga ke hari ini.

Keluarga itu juga ditawarkan sebuah rumah sewa dan kos sewa ditanggung oleh MPKK tetapi keluarga ini menolak dengan alasan sukar untuk menjaga kebun.

Pejabat ADUN Johol akan membantu mengurus keluarga ini untuk pulang ke Meru, Klang petang ini setelah surat kebenaran merentasi negeri diperoleh.

Keluarga ini pernah memohon rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) pada 2015 tetapi permohonan tidak mengikut syarat kerana keluarga ini tidak tinggal di Kampung Malan dan tidak termasuk kategori e-Kasih (miskin tegar).

Undang Luak Johol, Datuk Mohammed Abdullah turut hadir menyampaikan sumbangan selain beberapa agensi kerajaan yang lain.

Sabtu, 2 Mei 2020 | 4:36pm