SYAIRAH ABDUL LAJIS
 

KUALA PILAH - Impian untuk menawan Kem Pangkalan Everest (EBC) oleh pendaki orang kurang upaya (OKU), Azzrulkhan Hasrullah Matsah, 26,
yang dirancang pada Mac ini, terpaksa ditangguhkan ke tahun hadapan jika peruntukan masih belum mencukupi.

Dia yang mesra dengan panggilan Adam, menghidap penyakit polio sejak dilahirkan, memerlukan kos keseluruhan dianggarkan RM250,000 bagi
menampung seramai lapan orang peserta termasuk tujuh kru.

Pengarah projek pemantau aktiviti Adam, Siti Zaleha Abu Bakar, 46, berkata, kos sebanyak itu diperlukan untuk sepanjang 26 hari misi
menawan EBC berlangsung.

“Kebiasaannya masa yang diambil oleh pendaki normal untuk sampai ke EBC adalah 14 hari tetapi memandangkan keadaan fizikal Adam perlu
mendaki menggunakan kedua belah tangannya, dia memerlukan 26 hari untuk menawan EBC.

“Perancangan awal misi menawan EBC adalah hujung bulan Mac ini tetapi adalah mustahil untuk kami mengumpul dana sebanyak itu dalam tempoh
singkat,” katanya.

Menurutnya, kos yang diperlukan agak tinggi kerana Adam terpaksa menggunakan helikopter untuk pergerakan turun dari EBC ke tempat
permulaan pendakian.

“Selain itu, peralatan yang diperlukan termasuk pakaian yang dipakai ketika Adam mendaki juga berbeza dengan orang normal.

“Justeru, kami perlu peruntukan RM250,000 melibatkan keseluruhan kos termasuk kos latihan berkala sebagai persiapan untuk Adam serta krew
mencapai misi itu,” katanya.

Jelasnya, untuk merealisasikan misi ini, dia memohon sekiranya ada syarikat yang sudi menaja Adam bolehlah berhubung dengannya.

“Kepada mana-mana syarikat, boleh hubungi saya di talian 012-2686009 untuk sebarang pertanyaan.

“Kami berjanji, sekiranya ada mana-mana syarikat yang sudi menaja, Adam akan membawa jenama syarikat tersebut naik ke EBC sebagai tanda
penghargaan dan secara tidak langsung Adam akan mempromosikan jenama serta produk syarikat berkenaan,” katanya.

Zaleha ditemui sempena program Adam@Senaling Kuala Pilah, dianjurkan oleh Team Anak Gunung Malaysia bersama Finger Rich Adventures
Discovery telah disertai seramai 125 orang pendaki, kelmarin.