'Kambing itu bukan mahu mengawan'

Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Amran Yahya
Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.





KUALA PILAH: "Saya tidak rasa kambing itu mahu mengawan," kata Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan, Dr Zul Edham Wagiman, mengenai kejadian seorang wanita hampir diserang seekor kambing jantan di Kampung Gentam, di sini, semalam.

Beliau berkata, haiwan biasanya tidak menyerang manusia apabila mahu mengawan, malah itu bukan tingkah laku biasa bagi ternakan kerana mereka hanya bersaing sesama sendiri.

"Haiwan ternakan seperti kambing jantan hanya akan menyerang pesaingnya iaitu kambing jantan lain jika mahu mengawan.

"Tetapi, ia akan bertindak balas secara semula jadi sekiranya wujud provokasi atau terancam," katanya.

Dr Zul Edham berkata, haiwan mempunyai tiga tindak balas semula jadi iaitu takut, cuba lari dan melawan.

Beliau berkata, kambing di negara ini adalah jenis peliharaan yang bukan sifatnya menyerang manusia dan kejadian menyerang manusia adalah kes terpencil.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, wanita dikenali sebagai Mysha, 45, sempat melarikan diri keluar daripada kereta untuk menyelamatkan diri apabila kambing berkenaan meluru ke arahnya sebelum kepala haiwan itu tersangkut pada stereng keretanya.

Ditemui di rumahnya hari ini, Mysha berkata, dia menganggap kejadian itu sebagai pelik dan melucukan.

 

"Kejadian seperti ini tidak pernah berlaku di kampung ini walaupun ramai penduduk membela ternakan berkenaan secara lepas bebas.

"Sehingga kini, saya tidak tahu kambing itu milik siapa kerana ia melarikan diri ke dalam semak sebaik dilepaskan daripada stereng kereta oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM)," katanya.

Mysha berkata, kejadian itu mungkin berlaku disebabkan kambing berkenaan disengat tebuan yang terdapat di atas tebing berhampiran rumahnya sebelum berlari ke arah keretanya dan tersangkut pada stereng.