W3C      
 

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan
BH Online : 9.3.2018

KUALA PILAH: Pengawal keselamatan, Zainal Abidin Yusof akan menggunakan wang bantuan sumbangan Yayasan Bank Rakyat (YBR) untuk membeli cermin mata anaknya yang menghadapi masalah penglihatan.

Zainal Abidin, 49, berkata walaupun jumlah wang tunai yang diterima mungkin dianggap tidak seberapa bagi segelintir orang, namun sumbangan itu sangat bermakna kepada golongan berpendapatan rendah seperti dirinya.

"Saya mahu gunakan wang sumbangan itu untuk keperluan anak, Mohd Zaid. Disebabkan kelengkapan persekolahan dia sudah cukup, saya gunakan wang ini untuk menempah cermin mata untuknya.

"Saya dapat tahu dia mula rabun pada awal tahun ini selepas membuat pemeriksaan mata di sekolahnya iaitu di Sekolah Kebangsaan Inas. Kelmarin saya bawa dia ke kedai cermin mata untuk buat pemeriksaan lagi tapi belum buat apa-apa tempahan," katanya.

Zaina Abidin ditemui ketika Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan di Sekolah Kebangsaan Undang Johol di sini, hari ini,

Anaknya, Mohd Zaid, 12, adalah antara 100 murid dari kawasan Dewan Undangan Negeri Johol, yang terpilih menerima bantuan wang tunai RM100 serta beg sekolah yang disumbangkan YBR.

Pada majlis berkenaan, bantuan itu disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johol, Datuk Abu Samah Mahat.

Yang turut hadir, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Saiful Yazan Sulaiman.

Sementara itu, Saiful Yazlan berkata, sebanyak RM330,000 diperuntukkan pihaknya menerusi program itu membabitkan 5,000 murid di seluruh Malaysia.

"Setakat ini, 60 peratus sudah menerima bantuan ini manakala yang selebihnya akan menerima bantuan itu sebelum Mei ini.

"Mereka yang layak terdiri daripada murid di kalangan keluarga B40 dengan senarai nama diperoleh daripada Pejabat Pendidikan Daerah," katanya.