W3C      

Masalah parkir haram selesai

 

KUALA PILAH - Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) akhirnya mengambil langkah drastik dengan memasang besi pengadang di jalan selekoh Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN).

Ini berikutan kedegilan orang awam memarkir kenderaan di tepi jalan itu semata-mata mahu ke kedai makan walaupun pihak berkaitan telah menyediakan parkir di lokasi bersebelahan.

Hanya kerana sikap malas dan mengambil jalan singkat, tindakan parkir di tepi jalan mengganggu arus trafik terutama ambulans yang berulang alik ke HTAN bagi kes kecemasan.


MDKP pada Februari lalu telah mengambil maklum balas berhubung aduan orang awam dan telah meletakkan pasu bunga hiasan sebagai tanda tidak boleh parkir di jalan itu.

Bagaimanapun, masih ada segelintir orang awam tetap berdegil parkir di jalan berkenaan dan akhirnya pihak berkaitan telah memasang besi pengadang selain meletakkan papan tanda dilarang parkir di kawasan tersebut.

 

Yang Dipertua MDKP, Syahrul Nizam Saleh berkata, JKR dengan kerjasama MDKP telah mengambil langkah selamat dengan memasang besi sepanjang 50 meter.

“Kita kerap menerima aduan berkaitan masalah itu dan rata-rata orang awam masih lagi memiliki sikap tidak endah kepada larangan itu.

“Pemasangan besi pengadang itu untuk menghalang kenderaan meletak kenderaan yang boleh menghalang laluan masuk ke HTAN.

“Langkah ini untuk menyelesaikan aduan pihak hospital dan orang ramai berkenaan kenderaan yang menghalang laluan ke HTAN,” katanya.


Papan tanda larangan parkir telah dipasang di tepi jalan berkenaan.
Masalah tersebut turut mendapat perhatian Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau telah memberi kenyataan menerusi media sosial bahawa MDKP telah mengambil maklum isu itu dan pelbagai pihak telah mengambil tindakan untuk mengatasi masalah tersebut antaranya penguat kuasaan polis, meletakkan papan tanda larangan parkir, meletakkan pasu bunga hiasan di tepi jalan dan menyediakan parkir di kawasan berhampiran.

Katanya, terkini beliau telah meminta JKR memasang besi pengadang dan akan terus memantau perkara itu.