W3C      

KUALA PILAH - Yayasan Undang Johol bakal beroperasi setelah mendapat kelulusan pendaftaran oleh Bahagian Hal Ehwal Undang Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada 15 Januari lalu.

Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah berkata, yayasan itu sering dengan Badan Kebajikan Datuk-datuk Adat Luak Johol di sini.

“Antara objektif penubuhan yayasan ini adalah untuk menggalakkan kebajikan sosial, pendidikan, adat, budaya dan ekonomi tanpa mengira bangsa, agama dan kepercayaan.

“Yayasan ini adalah instrumen penting membolehkan jajahan ini dimayungi, dilimpahi kemakmuran dan menjamin kesejahteraan rakyat.

“Pendek kata, yayasan ini dijangka mengambil cakna golongan sasar seperti mereka yang kurang upaya bukan sahaja dari segi fizikal malah termasuk juga mereka yang terganggu dari segi kesihatan dan ekonomi,” katanya.

Beliau menambah, menerusi yayasan tersebut, dapat memperkasa nilai-nilai dan tradisi adat, seni dan budaya Melayu dalam kalangan masyarakat.

“Aspek adat, bahasa, seni dan budaya ini merupakan objektif utama yang termaktub dalam surat ikatan amanah yang akan menjadi panduan urus tadbir yayasan tersebut.

“Insya-ALLAH Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Undang Johol akan bekerjasama dan bermuafakat dengan datuk-datuk adat, kakitangan Lembaga Muzium Negeri Sembilan serta penyelidik-penyelidik dari universiti tempatan.

“Antara beberapa inisiatif yang boleh digerakkan termasuklah penganjuran program berbentuk ceramah, seminar, mendokumentasikan kerja-kerja penyelidikan hasil kajian semula kearifan tempatan masyarakat Melayu yang sudah banyak tenggelam ditelan arus modenisasi.

“Saya percaya melalui usaha-usaha secara terancang dan bersepadu, khazanah terkandung dalam Adat Perpatih atau adat bona akan kekal subur sepanjang zaman seperti kata perbilangan adat, ‘adat yang tidak lekang dek paneh dan tidak lapok dek hujan’,” katanya.

Muhammed berkata demikian sempena program Warna-warni Adat Perpatih ‘Adat Benar’ Luak Johol di balai Undang Luak Johol.

Program anjuran Kerajaan Negeri Sembilan dengan kerjasama Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) dan Balai Undang Luak Johol, dihadiri seramai 700 orang termasuk Persatuan Artis Veteran Malaysia, guru-guru dan pelajar-pelajar sekolah menengah di sini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu, Datuk Abd Razak Ab Said; Adun Johol, Datuk Abu Samah Mahat dan pemangku Pengarah LMNS, Aziz Mohd Gorip.