W3C      
 

 

KUALA PILAH – Hasrat pendaki orang kurang upaya (OKU) menawan Kem Pangkalan Everest (EBC) bakal terlaksana pada Mei ini.

Azzrulkhan Hasrullah Matsah, 26, atau lebih dikenali Adam sedang dalam misi pendakian ke EBS di Nepal bersama Kelab Eksplorasi 7 Benua.


Wakil Kelab eksplorasi 7 benua, Muhammad Ariff berkata, ahli kelab bersama jurulatih dan Adam telah diterbangkan ke Nepal pada kelmarin.

“Adam akan berada di sana selama 20 hari dan terus tiba di Nepal untuk memulakan misinya menawan EBC.

“Kami hanya berharap doa dari rakyat Malaysia untuk permudahkan perjalanan Adam dan diberi kesihatan baik untuk memudahkan Adam tiba di EBC,” katanya.

Terdahulu, Adam yang menghidapi penyakit polio sejak dilahirkan telah bergiat aktif dalam kegiatan sukan lasak seperti mendaki gunung sejak 2014 dan berjaya menawan puncak tertinggi di Asia Tenggara, gunung Kinabalu pada 25 Oktober tahun lalu.

Kejayaan itu bukan hanya membolehkan Adam memahat namanya dalam rekod Malaysia Books of Record, malah membuktikan golongan itu juga boleh bergiat aktif dalam sukan lasak jika mendapat bimbingan sepertinya di bawah Persatuan Anak Gunung Malaysia.

Walaupun perlu merangkak dan mendaki dalam tempoh yang lama, ia bukan penghalang untuk Adam gapai impian untuk tawan gunung dalam Malaysia dan luar negara seperti EBC.

“Saya gembira kerana pernah merasai cabaran mendaki Gunung Kinabalu dan faktor suhu sejuk tidak mematahkan semangat saya untuk tiba ke puncak.

“Insya-ALLAH pengalaman itu akan saya praktiskan ketika tiba di EBC,” katanya ketika ditemui di program Adam@Senaling Kuala Pilah ini telah dianjurkan oleh Team Anak Gunung Malaysia bersama Finger Rich Adventures Discovery telah disertai seramai 125 orang pendaki.